Sunday, August 1, 2010

Dr Xavier seleweng dana sekolah Tamil RM1.67 juta

Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Daerah Klang hari ini meminta polis menyiasat Dr. Xavier A. Jayakumar yang didakwa menyalah guna kuasa dalam pengagihan Tabung Dana Sekolah-Sekolah Tamil Selangor berjumlah RM1.67 juta tahun lalu.

Permintaan itu terkandung dalam laporan polis yang dibuat oleh anggota jawatankuasa PIBG Daerah Klang, G. Jeganathan, 44, di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini hari ini.

Xavier yang merupakan Exco Kerajaan Selangor didakwa mengagihkan wang tabung tersebut yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tiga NGO yang didakwa menerima peruntukan itu adalah Pusat Pembangunan, Pembelajaran dan Maklumat Kanak-Kanak (CHILD), Yayasan Penyelidikan, Kebajikan dan Pendidikan (EWRF) serta Yayasan Tamil.

"Sepatutnya wang peruntukan itu diberikan terus kepada lebih 90 sekolah Tamil atau PIBG di Selangor," kata Jeganathan ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan Xavier menyalurkan wang RM1.67 juta itu kepada tiga NGO dan bukannya kepada pihak PIBG atau sekolah-sekolah Tamil Selangor seperti yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment